BANTUAN bekalan melalui lori tangki air di kawasan terjejas di Klang. FOTO SADDAM YUSOFF
BANTUAN bekalan melalui lori tangki air di kawasan terjejas di Klang. FOTO SADDAM YUSOFF
Nur Lela Zulkipli dan Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


PROSES pemulihan bekalan air di kawasan terjejas susulan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang akibat pencemaran diesel kini sudah mencapai 88 peratus.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, sehingga jam 6 petang tadi, peratus pemulihan bekalan air itu berdasarkan jumlah akaun berdaftar dengan merujuk kepada pemantauan di lapangan dan bacaan tekanan di sistem agihan di kawasan terjejas.

“Status pemulihan bekalan air kepada 1,191,942 pelanggan terjejas berada pada tahap memuaskan.

“Kami sedang berusaha meningkatkan tekanan serta menstabilkan bekalan di sistem-sistem agihan dan mempercepatkan proses pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan, di Shah Alam, hari ini.

Abdul Raof berkata, Gombak mencatatkan status pemulihan 100 peratus, manakala Hulu Selangor 99 peratus, Kuala Selangor 98 peratus, Kuala Lumpur 92 peratus dan Kuala Langat 91 peratus.

“Sementara itu, Klang dan Shah Alam mencatatkan 81 peratus dan Petaling 86 peratus pemulihan bekalan air.

“Kebanyakan kawasan dijangka pulih sepenuhnya mulai esok dan selewat-lewatnya pada Sabtu ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan di beberapa lokasi mendapati beberapa lori air ditempatkan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, tidak kelihatan mana-mana individu datang mengambil air berikutan bekalan air sudah pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:49 PM