GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sindiket penipuan meraih keuntungan sehingga RM57 juta hanya dengan menyamar sebagai pegawai kerajaan menerusi panggilan telefon.

Sindiket ini akan menjerat mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pegawai mahkamah, pegawai kastam dan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sejak Januari hingga 15 September lalu, pihaknya menerima 1,421 kes penipuan berkaitan penyamaran pegawai kerajaan.

"Ia membabitkan jumlah kerugian bernilai RM57.3 juta. Sindiket penipuan ini dikesan mendakwa mangsa terbabit dengan kegiatan jenayah.

"Mangsa yang percaya dengan dakwaan itu akan diarahkan menyerahkan maklumat perbankan seperti kata laluan, ID pengguna, nombor kad perbankan dan nombor TAC kepada sindiket dengan alasan untuk siasatan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, mangsa juga diarahkan memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga iaitu keldai akaun yang kononnya milik pegawai bank negara bagi tujuan siasatan.

"Mangsa dijanjikan wang berkenaan akan dikembalikan selepas beberapa hari. Namun mangsa menyedari ditipu selepas wang yang dipindahkan lesap.

"Polis ingin mengingatkan orang ramai bahasa pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon terutama membabitkan siasatan jabatan kerajaan," katanya.

Menurutnya, sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan nombor akaun kata laluan perbankan atau jumlah wang di dalam akaun bank juga tidak akan diminta menerusi panggilan telefon.

"Dalam usaha untuk mencegah kes-kes sebegini dari terus berlaku, polis menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berurusan melalui panggilan telefon.

"Orang ramai diingatkan untuk tidak berkongsi maklumat kewangan atau perbankan kepada mana-mana pihak bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 12:20 PM