AZMAN Adam. FOTO arkib NSTP
AZMAN Adam. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengguna diseru untuk tidak membeli barangan harga dikawal daripada premis atau platform dalam talian yang dijual melebihi harga ditetapkan.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, beberapa barang keperluan ditetapkan harga bagi jualan di mana-mana lokasi termasuk dalam talian.

"Kami berharap semua peniaga di semua premis perniagaan termasuk perniagaan dalam talian supaya mengikuti semua garis panduan dan syarat termasuk menjual pada harga ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Bagaimanapun, perlu diingat bahawa harga yang ditetapkan bagi barangan dikawal itu tidak termasuk caj penghantaran," katanya.

Sementara itu, Azman berkata, tahun ini, pihaknya menerima 350 aduan berkenaan penjualan barangan dikawal melebih harga yang ditetapkan sehingga 29 September lalu.

Aduan itu membabitkan beberapa barangan termasuk gula, pelitup muka, minyak masak, tepung dan kit ujian Covid-19 (ujian kendiri).

"Untuk rekod, sebanyak 162 kertas siasatan dibuka atas kesalahan peniaga gagal mengikut harga yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Katanya, KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang melanggari garis panduan dan syarat serta harga.

"Pengguna juga diminta melaporkan kepada KPDNHEP dengan memberi maklumat lengkap barangan berkenaan dengan tanda harga beserta lokasi premis atau platform untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 1:53 PM