Dr Lalilanor (dua dari kanan) bersama Dr Faridah (dua dari kiri) di majlis penutup PPV bagi pelajar sekolah menengah daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana di Dewan Canselor MSU, Shah Alam hari ini. Foto Faiz Anuar
Dr Lalilanor (dua dari kanan) bersama Dr Faridah (dua dari kiri) di majlis penutup PPV bagi pelajar sekolah menengah daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana di Dewan Canselor MSU, Shah Alam hari ini. Foto Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sejumlah 39,104 pelajar tingkatan empat dan lima di daerah Petaling lengkap menerima dua dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Management and Science University (MSU) di sini.

Pengarah Pusat Perubatan MSU (MSUMC) Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata, program dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu bermula pada 20 September lalu dan berakhir hari ini.

Menurutnya, sejumlah 80,840 dos vaksin yang diberikan dalam program PICK Remaja itu yang dijalankan di Dewan Canselor MSU terbabit.

"Untuk pelajar ini sudah selesai hari ini, terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini terutamanya pihak PKD Petaling, doktor, jururawat, PPD, sukarelawan, juga rakan media.

"Sekarang sedang berlangsung pemberian dos booster kepada warga 60 tahun ke atas dan petugas barisan hadapan hari ini hari kedua.

"Kami juga bersedia pada bila-bila masa jika diperlukan untuk program vaksinasi seterusnya bagi pelajar berumur 12 hingga 15 tahun," katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Canselor MSU, Seksyen 13 di sini, hari ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling Dr Faridah Amin.

Sementara itu, Dr Faridah berkata, 39,104 pelajar berkenaan menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

Menurutnya, kira-kira 40 pegawai perubatan dan jururawat daripada PKD Petaling yang bertugas sepanjang program itu.

Mengulas mengenai aduan kesan sampingan kepada pelajar katanya, pihaknya hanya menerima dua kes.

"Kami hanya menerima dua kes pelajar yang menerima kesan sampingan selepas disuntik vaksin, namun hasil siasatan dijalankan mendapati mereka tidak makan langsung sebelum mengambil vaksin.

Terdahulu, media melaporkan Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pemberian vaksin kepada pelajar sekolah itu adalah kesinambungan pemberian vaksin melalui inisiatif komprehensif Partnership for Covid Elimination (PaCE) dan MSU sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 9:17 PM