Nur Izzati Mohamad

Batu Kawan: Empat pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini ditutup selama sehari, hari ini berikutan kekurangan dos vaksin Pfizer-BioNTech (Pfizer) sejak 12 Ogos lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, berikutan itu terdapat penangguhan pemberian vaksin kepada orang ramai.

Menurutnya, ia tidak menjejaskan program vaksinasi dan orang ramai diminta menyemak janji temu di aplikasi MySejahtera untuk tarikh baharu.

"Orang ramai yang sepatutnya menerima janji temu suntikan dos kedua di empat PPV itu telah ditangguhkan seketika dan diminta menyemak aplikasi MySejahtera untuk mengetahui tarikh baharu," katanya.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam laman sosial Facebook rasmi malam tadi memaklumkan penutupan empat PPV terbabit.

Vaksinator Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (PKD SPS) memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada penerima sempena Program Pemberian Vaksinasi COVID-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Koon di sini. Program mensasarkan penerima terdiri dari golongan komorbid serta warga emas dan orang kurang upaya menggunakan dua buah bas sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak serta dewan. FOTO DANIAL SAAD

Ia adalah Kompleks Sukan Balik Pulau (Barat Daya); Dewan Balai Rakyat Bayan Baru (Barat Daya); Tapak Pesta (Timur Laut) dan Dewan Milenium, Kepala Batas (Seberang Perai Utara).

Kesemua PPV berkenaan akan beroperasi semula, esok.

Menurut kenyataan itu, penerima dos kedua vaksin Pfizer yang dijadualkan mulai hari ini sehingga 19 Ogos akan dipinda kepada 22 hingga 26 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 4:51 PM