Zuliaty Zulkiffli


BAHAGIAN penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyita peralatan niaga membabitkan tiga penjaja ikan dan sayur yang ditinggalkan di tepi jalan di Jalan Datuk Kumbar, dalam operasi di Alor Setar, hari ini

Dalam operasi 8.30 pagi itu, semua peralatan penjaja seperti tong mengandungi ikan dan buah-buahan itu diangkut ke dalam lori penguat kuasa MBAS untuk tindakan lanjut.

Ketua Bahagian Penguat kuasa MBAS, Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, sebelum ini pihaknya sudah memberi notis kepada peniaga terbabit namun sehingga sekarang mereka tidak mengambil endah perkara itu.

Beliau berkata, barangan niaga yang ditinggalkan mengakibatkan kekotoran di kawasan itu terutamanya membabitkan jualan ikan selain mengundang kehadiran tikus.

“Berikutan itu dalam operasi hari ini kita menyita barangan niaga yang ditinggalkan di tepi jalan untuk tindakan lanjut.

“Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 109 ingkar notis dan sekiranya peniaga terbabit tidak mempunyai lesen kita akan mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Lesen, Penjaja dan Gerai malah kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM300,” katanya ketika melakukan pemeriksaan di pasar pagi di Tandop, hari ini.

Ahmad Syaher berkata, kes boleh juga disiasat mengikut Seksyen 109 ingkar notis di bawah Akta Kerajaan Tempatan yang mana maksimum kompaun sebanyak RM500.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga pihaknya turut melakukan pemeriksaan di kawasan yang menjadi tempat tumpuan awam di sekitar bandar raya ini.

Katanya, penjaja terbabit boleh mengambil semula barangan mereka di stor MBAS dengan syarat membayar kompaun dan tidak lagi mengulangi kesalahan sama selepas ini.

“Sekarang kita sudah berada pada fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kami perlu bertindak lebih tegas dan menyita peralatan sekiranya ada peniaga masih ingkar,” katanya.

Ahmad Syaher berkata, selain itu pihaknya tidak menggalakkan penjaja berniaga di bahu jalan supaya mereka dapat menjaga kebersihan dan mencegah dari sebarang kekotoran di kawasan itu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap kesedaran masyarakat di bandaraya ini dengan mengamalkan pembelian barangan di pasar awam dengan jarak sosial satu meter dan memakai penutup muka dan hidung.

ANGGOTA penguat kuasa MBAS menyita alat niaga milik penjaja yang ditinggalkan di tepi jalan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA penguat kuasa MBAS menyita alat niaga milik penjaja yang ditinggalkan di tepi jalan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 1:15 PM