GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Rakyat Malaysia yang ingin keluar negara akan diberikan pengecualian daripada memohon kelulusan MyTravelPass (MTP) bermula 1 Oktober ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pengecualian MTP membabitkan pelajar yang baru mendapat tawaran belajar di universiti luar negara dan pelajar lama yang menyambung pelajaran bersama dua orang pengiring.

Menurut beliau, bagi pelajar yang menduduki peperiksaan di luar negara mereka turut dibenarkan bersama dua orang pengiring.

"Pengecualian juga membabitkan urusan kecemasan seperti kematian dan sakit kritikal; bertemu isteri atau suami di luar negara di mana perkahwinan hanya didaftarkan di luar negara; menyertai acara sukan, seminar dan mesyuarat dan menyertai misi bantuan kemanusiaan," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, diplomat Malaysia dan diplomat asing kekal tidak perlu memohon MTP seperti ketetapan sedia ada.

Katanya, semua dokumen berkaitan tujuan perjalanan hendaklah ditunjukkan kepada pegawai imigresen yang bertugas di mana-mana kaunter pintu masuk negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:41 PM