Khairul Dzaimee (kanan) mengadakan lawatan ke Kaunter Khas Rekalibrasi Pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO SAMADI AHMAD.
Khairul Dzaimee (kanan) mengadakan lawatan ke Kaunter Khas Rekalibrasi Pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO SAMADI AHMAD.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Imigresen menerima sebanyak 356,510 permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warganegara Malaysia dan asing menerusi sistem MyTravelPass (MTP) bermula 7 Oktober 2020 hingga 10 September tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu sebanyak 6,697 permohonan dibatalkan, 208,509 lulus dan 127,465 ditolak.

Menurutnya, jumlah yang diproses pula adalah sebanyak 13,000 permohonan yang diuruskan oleh tiga pasukan bertindak.

Katanya, jumlah itu tidak pernah berkurangan malah meningkat setiap hari, manakala penguatkuasaan MTP adalah selaras dengan sekatan perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Penguatkuasaan MTP ini adalah bagi mengawal pergerakan sebagai langkah pencegahan penularan virus Covid-19 dan ini terbukti setakat Ogos lalu kes import positif Covid-19 yang direkodkan adalah kurang 0.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Khairul Dzaimee itu merujuk kepada merujuk kepada laporan sebuah akhbar tempatan yang diterbitkan hari ini yang bertajuk 'Travel pass causing delays'.

Secara umumnya laporan berkenaan mengulas mengenai kemudahan MTP yang didakwa menyebabkan kelewatan dalam urusan perjalanan keluar dan masuk negara.

Media berkenaan turut melaporkan keperluan MTP tidak diuar-uarkan kepada umum.

Khairul Dzaimee menjelaskan satu sidang media pada 7 Oktober tahun lalu ada memaklumkan kepada umum mengenai permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warganegara Malaysia dan asing perlu dibuat melalui sistem MTP.

Menurutnya, pengumuman itu turut mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.

Katanya, sehingga hari ini Jabatan Imigresen sentiasa membuat hebahan kepada umum melalui media massa dan media sosial.

"Tempoh masa proses permohonan terpaksa dinaikkan dari tujuh hari kepada 14 hari kerana keperluan tambahan masa proses diperlukan berikutan jumlah permohonan bertambah.

" Ini rentetan daripada kesan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi yang mengakibatkan jumlah perjalanan perniagaan yang semakin meningkat.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan ambil peduli dengan semua pengumuman dan peraturan terkini kerajaan serta membuat semakan tentang prosedur berkaitan sebelum merancang perjalanan ke luar negara," katanya.

Khairul Dzaimee turut menjelaskan semua syarat permohonan perlu difahami dan keperluan permohonan seperti lampiran dokumen perlu dipenuhi sebelum menghantar permohonan.

Katanya, penilaian teliti perlu dibuat bagi mengelakkan penularan kes import positif Covid-19 merebak masuk ke negara ini.

"Jabatan Imigresen sentiasa mengambil langkah proaktif untuk menambahbaik sistem MTP bagi memudahkan warga tempatan dan warga asing membuat permohonan perjalanan keluar dan masuk negara.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini MTP di laman web rasmi www.imi.gov.my atau mengikuti media sosial rasmi Imigresen di Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan Telegram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 7:51 PM