DATUK Khairul Dzaimee Daud pada sidang media mengenai My Travel Pass. Mohd Fadli Hamzah.
DATUK Khairul Dzaimee Daud pada sidang media mengenai My Travel Pass. Mohd Fadli Hamzah.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Jabatan Imigresen memperkenalkan sistem baharu bagi permohonan kebenaran masuk dan keluar negara untuk rakyat Malaysia dan warga asing yang dikenali sebagai MyTravelPass.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi sistem baharu itu ia secara tidak langsung dapat menjimatkan tempoh permohonan berbanding sebelum ini.

Katanya, sebelum ini jangka masa yang diperlukan oleh pihaknya untuk meluluskan permohonan ialah antara tujuh hingga 10 hari.

"Sebelum ini proses permohonan menggunakan emel, dianggarkan sebanyak 9,000 emel diterima sehari. Atas sebab itu kita terpaksa tapis emel yang diterima terlebih dahulu kerana terdapat permohonan berulang.

"Selepas itu baru kita boleh meluluskan permohonan berkenaan. Berikutan itu, JIM mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan satu sistem yang mampu memendekkan tempoh masa permohonan iaitu antara tiga hingga lima hari," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan sistem MyTravelPass, di sini, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sistem itu dapat diakses melalui laman web rasmi JIM iaitu di www.imi.gov.my atau mtp.imi.gov.my.

Khairul Dzaimee berkata, dengan adanya sistem berkenaan ia selaras dengan usaha kerajaan untuk pendigitilan dan penambahbaikan perkhidmatan kerajaan seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, antara permohonan yang boleh dikemukakan melalui sistem itu termasuk permohonan masuk melalui Singapura Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), permohonan masuk melalui Singapura Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan permohonan keluar oleh warganegara Malaysia (yang mempunyai sebab yang boleh dipertimbangkan.

"Selain itu permohonan masuk oleh warga asing atau penduduk tetap (PR), permohonan masuk oleh majikan bagi kategori Pembantu Rumah Asing (PRA) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Turut boleh memohon ialah warga asing kategori pasangan kepada warganegara atau pasangan kepada penduduk tetap atau anak kepada warganegara serta penduduk tetap.

"Warga asing kategori Ekspatriat dan permohonan masuk oleh warga asing kategori Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)," katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata dari 1 Januari sehingga 5 Oktober lalu seramai 26,792 pendatang asing tanpa izin (Pati) diusir atas pelbagai kesalahan.

"Tiga negara yang tertinggi diusir ialah Indonesia iaitu 11,919 diikuti Bangladesh (3,855), Thailand (2,036) dan India (2,013)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 6:22 PM