Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

WARGA asing yang menetap di Singapura dan mahu memasuki Malaysia bagi tempoh singkat untuk urusan rasmi atau perniagaan boleh membuat permohonan menerusi Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, RGL juga terpakai untuk warga Singapura yang mahu memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan dalam tempoh singkat.

"Bagi warga Singapura dan penduduk tetap di negara itu yang mempunyai Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) dan mahu memasuki Malaysia untuk bekerja atau urusan perniagaan perlu membuat permohonan menerusi Periodical Commuting Arrangement (PCA).

"Untuk menggunakan kemudahan RGL dan PCA ini, semua pelawat asing perlu memohon melalui sistem MyTravelPass (MTP) di http://www.mtp.imi.gov.my bermula 10 Ogos ini," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, selain itu, semua pelawat asing perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengaktifkannya dalam telefon pintar masing-masing.

"Pelawat asing yang menggunakan kemudahan RGL, penaja mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak individu itu melalui sistem MTP.

"Bagi pelawat asing yang menggunakan kemudahan PCA pula, majikan mereka di negara ini perlu membuat permohonan melalui sistem MTP," katanya.

Katanya, orang ramai boleh melayari laman web www.imi.gov.my atau https://safetravel.ica.gov.sg untuk mendapatkan panduan lengkap tatacara permohonan dan keperluan dokumen bagi kemudahan RGL dan PCA.

"Kami menasihatkan semua pelawat asing dan warganegara Malaysia supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini daripada agensi berkaitan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

"Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 6:39 PM