Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang.
Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang.
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Warganegara Malaysia yang mahu ke Thailand menerusi Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam atas urusan tertentu dibenarkan berbuat demikian kecuali untuk tujuan melancong.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Negeri (JIM) Kedah (Kawalan), Rosmaliza Mohamed Rashid, berkata individu terbabit hendaklah menghubungi Konsulat Thailand di Pulau Pinang untuk dapatkan kebenaran masuk ke Thailand terlebih dahulu bagi mengelakkan penolakan kemasukan oleh negara berkenaan.

"Seperti kenyataan media oleh Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud sebelum ini, berkuat kuasa 1 Oktober 2021, semua warganegara yang mahu keluar negara atas tujuan tertentu diberikan pengecualian daripada memohon MyTravelPass (MTP).

"Golongan yang dikecualikan daripada memohon MTP ialah pelajar baharu yang mendapat tawaran di universiti luar negara bersama dua pengiring, serta pelajar lama yang menyambung pelajaran dan pelajar yang menduduki peperiksaan, bersama dua pengiring.

"Turut dikecualikan adalah bagi kategori urusan kecemasan seperti kematian dan sakit kritikal, bertemu isteri atau suami di luar negara yang perkahwinan didafta

rkan di luar negara, menyertai acara sukan, seminar dan mesyuarat serta menyertai misi bantuan kemanusiaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk untuk melancong tanpa melalui MyTravelPass Jabatan Imigresen, berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu berkenaan mesti lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebaik pulang ke tanah air.

Rosmaliza, berkata pembukaan ICQS di sempadan negeri ini untuk ke Thailand bagi tujuan pelancongan akan dimaklumkan selepas ini.

"Setakat ini pihak kami dimaklumkan pembukaan ICQS untuk tujuan pelancongan masih tidak dibenarkan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 5:35 PM