LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Bernama.
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Bernama.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Beberapa kategori pengembara tidak lagi perlu memohon kepada Jabatan Imigresen (JIM) untuk keluar negara berkuat kuasa 17 Mei lalu.

Antara kategori berkenaan ialah diplomat serta petugas kedutaan yang bertugas di luar negara termasuk tanggungan; pelajar sedia ada atau yang sedang menyambung pengajian serta pemegang pas jangka panjang di luar negara termasuk pemastautin tetap, mempunyai pas residen serta pas kerja.

Selain itu mereka yang bekerja dengan syarikat petroleum, syarikat perkapalan yang perlu bekerja di atas kapal di luar negara serta mengiringi penuntut (terhad kepada dua orang pengiring sahaja) juga tidak perlu membuat permohonan untuk ke luar negara.

Bagaimanapun, individu berkenaan masih perlu menunjukkan dokumen sokongan yang berkaitan kepada pegawai Imigresen yang bertugas pada ketika itu, walaupun tidak perlu memohon dalam sistem MyTravelPass.

Sementara itu, kategori yang perlu yang perlu memohon dalam sistem MyTravelPass sebelum keluar negara ialah mereka yang baru mendapat tawaran kerja atau belajar; penuntut yang ingin mengambil peperiksaan, menghadiri mesyuarat, seminar, pameran atau urusan perniagaan serta kecemasan.

Selain itu, kelulusan keluar negara daripada JIM hanyalah untuk perjalanan sehala dan mereka perlu mengemukakan permohonan baharu untuk perjalanan seterusnya.

Pun begitu, individu yang berhasrat untuk bercuti, melancong atau mengadakan lawatan biasa terhadap ahli keluarga yang menetap di luar negara masih tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 4:31 PM