IDRIS Ahmad semasa sidang media pada Majlis Penyampaian Musa'adah di Madrasah Darul Ansar Kampung Basung. FOTO Ghazali Kori
IDRIS Ahmad semasa sidang media pada Majlis Penyampaian Musa'adah di Madrasah Darul Ansar Kampung Basung. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Golongan mukhannath atau transgender perlu menyesuaikan diri dengan mengubah penampilan seiring dengan norma masyarakat tempatan dalam menjalani kehidupan harian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi mengelak situasi janggal, menjaga aurat dan privasi terutama ketika di rumah ibadah.

"Kalau dia lelaki, masuk saf lelaki sebab itu kita tak nak (sokong) LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

"Payah (susah) bayangkan kalau dia lelaki tiba-tiba masuk tandas wanita, (jadi) masalah sebab itu kita (tidak sokong) dalam soal LGBT," katanya.

Katanya, pelbagai program dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha untuk membantu golongan berkenaan.

"Setakat ini, lebih 1,700 orang hadir dan ada kalangan mereka ini yang kembali kepada fitrah.

"Alhamdulillah, kita bukan mahu menghukum, kadang-kadang mereka silap faham, hidup berkawan, jadi kita bukan sifat untuk menghukum (tetapi) lebih kepada soal pendidikan," katanya.

Terdahulu, Idris menyampaikan sumbangan kepada Madrasah Darul Ansar dan pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menyarankan golongan mukhannath mengubah cara penampilan mereka di tempat ibadah supaya tidak kelihatan berbeza atau ganjil berbanding jemaah yang lain.

Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Marzuk Shaary pada Jumaat lalu dipetik berkata, kerajaan sedang meneliti untuk mengenakan larangan kepada transgender daripada memasuki masjid di Wilayah Persekutuan.

Ketika ditanya mengenai status penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) serta keanggotaannya, Idris berkata, perkara itu akan diputuskan di dalam kabinet.

"Kita putuskan dalam kabinet, insya-Allah yang akan mengetuai untuk pembentukan pelantikan semua itu di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar," katanya.

Pada 14 Julai lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 6:40 PM