Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kadar penggunaan katil hospital bagi Covid-19 di seluruh negara setakat semalam adalah sebanyak 72.9 peratus.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tahap penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebanyak 55.8 peratus dan Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 74.8 peratus.

Katanya, selain daripada rawatan di fasiliti kerajaan, sebanyak 112 hospital swasta dengan kapasiti keseluruhan 1,272 katil wad biasa dan 135 katil ICU juga sedang merawat pesakit Covid-19.

"Kadar penggunaan katil semasa adalah masing-masing 45 peratus bagi katil wad biasa dan 44 peratus bagi katil ICU," katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata, pihaknya belum memuktamadkan pelaksanaan kaedah pemutus litar jika sesuatu lokasi merekodkan penularan luar biasa.

Katanya, ia dijangka perlu dilaksanakan ketika Malaysia sedang beralih ke fasa pra endemik seperti mana pendekatan yang diambil Singapura.

Beliau turut menjelaskan mengenai data kematian yang menimbulkan kekeliruan pada 11 September dan memaklumkan ia direkodkan berdasarkan jumlah pelaporan yang diterima pada hari terbabit.

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

"Tidak berlaku ralat, cuma terdapat 'backlog' pelaporan kes berikutan kebanjiran kes Covid-19 terutamanya di Lembah Klang pada penghujung bulan Julai sehingga akhir Ogos 2021.

"Bagi melaporkan setiap kes kematian, ia haruslah mengikut klasifikasi kematian Covid-19, di mana di Malaysia, hanya kematian yang disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dilaporkan sebagai kematian Covid-19 bagi tujuan statistik kebangsaan.

"Ini juga turut menjadi penanda aras di peringkat antarabangsa. Klasifikasi ini adalah mengikut garis panduan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada April 2020," katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan ini, pelaporan kematian dari fasiliti kesihatan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) mengambil masa 24 hingga 72 jam selepas kematian berlaku memandangkan terdapat juga penyiasatan lapangan yang harus dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:22 PM