GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Kluang: Kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) pesakit Covid-19 yang dilaporkan tinggi di beberapa negeri, hanya membabitkan katil yang dikhaskan bagi rawatan pesakit Covid-19, bukan membabitkan semua jenis katil dan wad.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau maklum kebimbangan masyarakat apabila data dilaporkan menunjukkan penggunaan katil di ICU yang tinggi berikutan peningkatan jangkitan wabak Covid-19 ketika ini.

"Namun apabila kita melaporkan peratus kadar ICU yang tinggi bagi pesakit Covid-19, ia adalah peratusan katil yang kita khaskan sebagai katil Covid-19.

"Sebenarnya kadar pemboleh ubah (denominator) sudah menjadi semakin kecil. Ini kerana sebelum ini bila kita sudah tak guna untuk Covid-19 , kita sudah tukarkan semula katil ICU Covid-19 sebagai katil bukan Covid-19.

"Kita juga tukar semula klasifikasi katil wad Covid-19 sebagai katil wad bukan Covid-19. Kita sebenarnya dalam keadaan terkawal, sebab jika berlaku peningkatan kes, kita boleh tukar katil itu sebagai katil Covid-19.

"Sebab itu bila data dikeluarkan setiap hari, kita tengok kebanyakan negeri dah catat lebih 50 peratus katil ICU Covid-19, namun kita sebenarnya masih ada lagi kapasiti simpanan katil ICU bukan Covid-19 dan katil wad bukan Covid-19 yang boleh kita klasifikasikan semula sebagai katil Covid-19 jika perlu berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pusat penilaian Covid-19 (CAC) Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Pada 20 Februari lalu tiga negeri dilaporkan menunjukkan penggunaan katil di wad ICU bagi pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata negeri berkenaan ialah Johor yang kini sudah menggunakan 70 peratus iaitu 32 daripada 46 katil wad ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19.

Beliau dilaporkan berkata, di Kuala Lumpur sebanyak 64 peratus iaitu 14 daripada 22 katil, manakala 50 peratus iaitu 18 daripada 36 katil di Kelantan.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga melaporkan peningkatan penggunaan fasiliti kesihatan membabitkan pesakit Covid-19 di katil bukan ICU dan ICU.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kadar kemasukan di hospital membabitkan pesakit Covid-19 tinggi berikutan KKM mengambil langkah berjaga-jaga.

"Banyak kemasukan di wad iaitu 65 peratus ketika ini namun ia adalah pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2.

"Kita tetap ambil langkah pencegahan. Contohnya ada pesakit kategori 2, namun dia warga emas dan ada komorbiti, jadi kita arah dirawat di hospital sebagai langkah pencegahan.

"Jika berlaku peningkatan kes dan kemasukan ke wad, kes seperti ini sama ada boleh rujuk untuk kuarantin ke rumah atau buka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Low Risk.

"PKRC MAEPS dibuka semula contohnya, sebab kita nak jaga kapasiti kemasukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Lembah Klang. Katil memang cukup masalahnya kalau kita kena klasifikasi semula katil bukan Covid-19 balik ke katil Covid-19, ia akan kacau kes back log kita, jadi saya putuskan buka PKRC MAEPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 5:56 PM