Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Situasi penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara menunjukkan situasi yang mendatar yang mana beberapa indikator masih menunjukkan trend penurunan berbanding minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, purata kes Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan penurunan 10 peratus iaitu 504 kes (ME ke-45) kepada 452 kes (ME ke-46).

Menurutnya, purata kes Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan sedikit penurunan (3.3 peratus) daripada 186 kes (ME ke-45) kepada 179 kes (ME ke-46).

"Kes kematian Covid-19 konsisten menunjukkan penurunan 7.5 peratus dengan 347 kematian (ME ke-46) berbanding 375 kematian (ME ke45).

"Nilai Rt menurun daripada 1.05 kepada 1.01 sejak 15 November lalu dan terkini, hari ini, nilai ini turun lagi kepada 0.99," katanya pada sidang media Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, namun begitu, terdapat juga indikator yang perlu diberi perhatian serius.

"Di peringkat kebangsaan, bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan didapati meningkat semula meliputi pesakit kategori 1, 2, 3, 4 dan 5.

"Indikator purata kes aktif Covid-19 menunjukkan peningkatan enam peratus dalam tempoh seminggu lalu iaitu daripada 62,224 kes (ME ke-45) kepada 65,722 kes (ME ke-46)," katanya.

KHAIRY Jamaluddin ketika sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
KHAIRY Jamaluddin ketika sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Beliau berkata, ini disebabkan kes harian Covid-19 dalam ME ke-46 meningkat kepada 40,600 kes berbanding 39,181 kes pada ME-45.

"Walaupun lebih 98 peratus kes baharu Covid-19 adalah kes kategori 1 dan 2, peningkatan kes baharu dan kes aktif Covid-19 selama dua minggu berturut-turut ini mengakibatkan kemasukan kes ke fasiliti kesihatan juga mulai meningkat.

"Terdapat juga kes Covid-19 kategori 1 dan 2 yang merosot ke kategori lebih serius dan memerlukan kemasukan ke hospital," katanya.

Kata Khairy Jamaluddin, oleh itu, secara keseluruhan, kadar penggunaan fasiliti kesihatan (katil bukan ICU, katil ICU dan PKRC) didapati mula meningkat semula terutamanya di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:21 PM