Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Penantian sepasang kembar lelaki yang menetap di Pinang Tunggal, di sini untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 akhirnya tertunai selepas tiga bulan menunggu.

Luah Zheng Sheng dan Luah Zhen Yang berusia 17 tahun sudah lama berhasrat mendapatkan vaksin Covid-19 namun tidak boleh berbuat demikian kerana belum ada suntikan bagi golongan remaja.

Bagaimanapun, bapa mereka, Luah Pok Boon, 5,1 yang juga seorang pekebun mendaftarkan mereka berdua sebaik membaca maklumat bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk remaja akan diadakan tidak lama lagi.

Pook Boon berkata, dengan pemberian vaksin kepada dua anak kembarnya itu menjadikan mereka sekeluarga kini sudah divaksinasi sekali gus mencipta kehidupan dalam keluarga yang lebih selamat.

"Tambahan pula, kedua-dua anak saya ini bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka beritahu sudah tidak sabar nak ke sekolah untuk buat persediaan.

"Jadi, bila mereka divaksinasi sebagai bapa sudah tentu saya gembira yang membolehkan anak saya dapat belajar dalam persekitaran lebih baik serta dijauhi dari virus," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium di sini, hari ini.

PASANGAN kembar seiras yang merupakan pelajar SMJK Chung Ling Butterworth, Luah Zheng Cheng (dua dari kiri) sambil diperhatikan adiknya Luah Zheng Yang (kiri) menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena PICK Remaja di PPV Dewan Milenium. FOTO Danial Saad
PASANGAN kembar seiras yang merupakan pelajar SMJK Chung Ling Butterworth, Luah Zheng Cheng (dua dari kiri) sambil diperhatikan adiknya Luah Zheng Yang (kiri) menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena PICK Remaja di PPV Dewan Milenium. FOTO Danial Saad

Jelasnya, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chung Ling, Butterworth dekat sini tidak takut mendapatkan vaksin bahkan kerap bertanyakan bila mereka boleh mendapatkan suntikan berkenaan.

"Syukur lepas tiga bulan mendaftarkan mereka dalam aplikasi MySejahtera akhirnya dipanggil untuk mendapatkan suntikan vaksin hari ini," katanya.

Pulau Pinang hari ini memulakan suntikan vaksin Covid-19 membabitkan pelajar berusia 16 dan 17 tahun tanpa komorbid yang bukan tinggal di asrama di enam PPV tersenarai manakala bagi pelajar dengan komorbid suntikan diberikan di hospital berdekatan mereka.

Difahamkan, seramai 3,500 pelajar tingkatan empat dan lima menerima suntikan imunisasi yang diadakan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 2:55 PM