Amir Abd Hamid

Putrajaya: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menjalani prosedur suntikan vaksin Covid-19 pada 2.43 petang, hari ini.

Prosedur berkenaan dilakukan di Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya Presint 11 dan dikendalikan Ketua Jururawat pejabat kesihatan itu, Lina Ibrahim.

Pejabat kesihatan itu adalah antara lebih 500 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti seluruh negara.

Turut sama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang selesai pada 2.52 petang.

MUHYIDDIN menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya. FOTO KKM/Muzzafar Kasim
MUHYIDDIN menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya. FOTO KKM/Muzzafar Kasim

Selain itu, turut menerima suntikan vaksin Covid-19 ialah pemandu Pejabat Kesihatan Putrajaya Clement Marai Francis, 36; Penolong Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin, 44; jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Sheilla Mellissa Sikin, 31; dan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Dr Tan Yee Ling, 30.

Prosedur suntikan vaksin fasa pertama itu menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula secara rasmi hari ini.

Hadir sama, Menteri Penyelaras PICK yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 3:01 PM