Mohd Amin Jalil


Seremban: Hanya sebilangan kecil pelajar negara ini yang menolak vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja, kata Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon.

Katanya, penolakan itu antaranya disebabkan mereka belum bersedia menerima suntikan vaksin dan bukan menentang sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, tiada statistik menunjukkan jumlah sebenar remaja terbabit, bahkan PICK Remaja masih berjalan lancar.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada kalangan pelajar yang menolak suntikan vaksin atas sebab tertentu termasuk belum bersedia.

"Namun, secara keseluruhannya majoriti pelajar setuju menerima vaksin. Kita (KPM) akan terus berusaha memberikan penerangan dan menyalurkan segala maklumat mengenai perlunya pelajar mengambil vaksin ini menerusi rakan sebaya dan ibu bapa mereka," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang mengendalikan PICK Remaja, hari ini.

Mah berkata, kementerian tidak merancang untuk mengasingkan pelajar yang belum divaksin sebaik sesi persekolahan bersemuka dilaksana secara berperingkat mulai 3 Oktober.

"Kita tidak boleh lakukan diskriminasi terhadap pelajar yang tidak ambil vaksin, namun sebaiknya kita terus berusaha menggalakkan semua atau 100 peratus mengambil suntikan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, rata-rata pelajar yang ditemui ketika lawatan di beberapa PPV yang menjalankan PICK Remaja menyuarakan rasa tidak sabar mereka untuk kembali ke sekolah, yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka.

Menurutnya, sehingga semalam, 33.3 peratus pelajar 12 hingga 17 tahun sudah menerima dos pertama, selain tiada laporan mengenai kesan sampingan vaksin terhadap mereka.

Mah Hang Soon (kanan) melawat Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Majlis Bandaraya Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mah Hang Soon (kanan) melawat Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Majlis Bandaraya Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 2:29 PM