Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kedatangan Hor Boon Chung, 63, ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini, dengan menyarungkan plastik di kepala menarik perhatian sukarelawan dan penerima vaksin.

Malah, dia juga bersikap positif dengan berpesan kepada sukarelawan yang ditemuinya supaya menjaga diri ketika berurusan dengan orang ramai.

Boon Chung berkata, dia menyarung plastik di kepala kerana bimbang dengan penularan Covid-19.

"Saya sarungkan plastik di kepala dari rumah di Lebuh Macallum sebelum menaiki teksi ke USM dengan tambang RM60 bagi perjalanan pergi dan balik.

"Saya tidak kisah mengenai pandangan orang kerana ini cara saya melindungi diri selain daripada menerima suntikan vaksin.

"Bukan sahaja memakai pelitup muka, plastik ini juga sudah lama saya sarungkan ke kepala jika keluar rumah," katanya dihubungi.

GELAGAT Hor Boon Chung yang menyarungkan plastik di kepala bagi mengelak dijangkiti Covid-19, ketika menerima suntikan vaksin mencuri tumpuan sukarelawan dan penerima vaksin di PPV USM. FOTO Ihsan USM
GELAGAT Hor Boon Chung yang menyarungkan plastik di kepala bagi mengelak dijangkiti Covid-19, ketika menerima suntikan vaksin mencuri tumpuan sukarelawan dan penerima vaksin di PPV USM. FOTO Ihsan USM

Boon Chung yang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 turut menasihati orang ramai supaya tampil untuk menerima suntikan berkenaan.

"Apabila negara bebas daripada pandemik, saya juga tidak perlu pakai plastik di kepala lagi," katanya.

Terdahulu, tular beberapa foto Boon Chung selepas ia dimuat naik oleh USM menerusi satu hantaran.

Turut menjadi perhatian ialah foto Boon Chung yang menyerahkan sumbangan wang kepada Pengurus Operasi Harian PPV Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Dr Mohamad Hafiz Mohamad Kassim bagi membeli makanan tengah hari buat semua sukarelawan.

Boon Chung berkata, dia berharap orang ramai tidak mempertikaikan sumbangannya kerana ia adalah sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada sukarelawan.

"Ia wang simpanan hasil pendapatan saya sebagai tukang cuci di sebuah bangunan berhampiran Jalan Dato Kramat.

"Tugas sukarelawan sangat mulia dan mereka juga berdepan risiko jangkitan ketika berurusan dengan orang ramai di PPV setiap hari.

"Saya tidak tahu hendak beri apa sebagai penghargaan, lalu beri sedikit wang kepada sukarelawan bagi membeli makanan tengah hari," katanya.

HOR Boon Chung (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Pengurus Operasi Harian PPV Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Dr Mohamad Hafiz Mohamad Kassim. FOTO Ihsan USM
HOR Boon Chung (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Pengurus Operasi Harian PPV Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Dr Mohamad Hafiz Mohamad Kassim. FOTO Ihsan USM

Sementara itu, Dr Mohamad Hafiz berkata, pada mulanya mereka agak bimbang Boon Chung akan berasa tidak selesa atau kelemasan sebelum sukarelawan memberi pelindung muka supaya dia boleh menanggalkan plastik itu.

Namun tidak lama kemudian, Boon Chung mengenakan semula plastik berkenaan dan sukarelawan membantunya sehingga selesai urusan penerimaan vaksin.

"Kami juga enggan terima wang sumbangan itu kerana bimbang akan menimbulkan persepsi lain tetapi Boon Chung tetap berkeras mahu membelanja kesemua sukarelawan makan tengah hari.

"Mungkin itu cara dia menghargai tugas seseorang dan ia menjadikan kami semua lebih bersemangat ketika bertugas di PPV ini," katanya dihubungi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 3:42 PM