Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Rata-rata majikan bersyukur akhirnya pekerja mereka yang terdiri dari warga asing boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pulau Pinang, mulai hari ini.

Empat PPV berkenaan adalah di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Dewan Milenium, SP Arena dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

Dalam tinjauan di PPV Dewan Millenium di sini, majikan dilihat membawa pekerja mereka yang belum mendapat suntikan vaksin sebaik pengoperasian bermula pada 2 petang.

Seorang pengusaha perkhidmatan mengecat kenderaan, Choi Fock Kuan, 52, berkata, dia tidak dapat memulakan perniagaannya berikutan tiga pekerjanya yang juga warga Myanmar belum mendapatkan vaksin Covid-19.

"Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memerlukan pekerja divaksin dan disebabkan itu sehingga kini saya masih tidak boleh membuka perniagaan. Kasihan pekerja sudah tiga bulan tidak dapat bekerja.

"Jadi, bila dapat tahu mengenai program 'walk-in' bagi warga asing saya terus bawa pekerja saya dan lega prosesnya amat mudah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

PENERIMA hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Milenium, Kepala Batas untuk mendapatkan suntikan secara ‘walk-in’ pada 17 September lalu. FOTO Danial Saad.
PENERIMA hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Milenium, Kepala Batas untuk mendapatkan suntikan secara ‘walk-in’ pada 17 September lalu. FOTO Danial Saad.

Sementara itu, tukang cuci warga Indonesia, Kristofina Kandi, 36, berkata, dia tampil ke PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin selepas dimaklumkan rakannya mengenai pelaksanaan program jumpa terus ini.

"Sekarang semua tempat berisiko tinggi disebabkan korona (Covid-19) dan walaupun berada di negara asing menjadi tanggungjawab saya mendapatkan vaksin demi perlindungan.

"Terima kasih kerajaan negeri dan juga Malaysia yang prihatin terhadap rakyat asing di negara ini apabila mengadakan program seumpama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 5:52 PM