Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lebih setengah juta remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun sudah menerima suntikan dos pertama vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula Isnin lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dapatan direkodkan setakat semalam itu turut menyaksikan Sabah mendahului apabila merekodkan lebih separuh daripada remaja didaftarkan menerima suntikan dos pertama.

"Setakat semalam, lebih setengah sejuta remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama mereka di bawah PICK Remaja.

"Sabah mendahului dengan 56 peratus daripada remaja yang didaftarkan di sekolah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka," katanya dalam Twitter beliau, hari ini.

PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu menerima suntikan vaksin semalam. FOTO GHAZALI KORI
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu menerima suntikan vaksin semalam. FOTO GHAZALI KORI

PICK untuk golongan remaja bermula sejak Isnin lalu.

Sementara itu, sebanyak 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh negara bagi menjalankan program vaksinasi remaja secara 'walk in' bermula hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, pelaksanaan kaedah 'walk-in' berjadual itu akan dilakukan mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV dikenal pasti.

Katanya, pelaksanaannya mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 10:49 AM