Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor belum dapat mendedahkan keputusan analisis toksik insiden pembuangan sisa kima terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, walaupun sudah menerima keputusan daripada Jabatan Kimia.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pengumuman hasil analisis Jabatan Kimia itu belum dapat didedahkan berikutan ia dapat menjejaskan integriti kertas siasatan kes itu.

Katanya, JAS Johor sedang menyiapkan kertas siasatan kes berkenaan bagi membuat pendakwaan kepada suspek yang disyaki dalam masa terdekat.

"Laporan analisis toksik insiden pembuangan sisa kimia terjadual berbahaya di Kempas sudah diterima, namun keputusannya tidak dapat diumumkan ketika ini.

"Selalunya laporan analisis kimia kita tidak boleh umumkan dahulu kerana ia akan menjejaskan integriti kertas siasatan dan semasa pertuduhan kes.

"Namun, jika Penasihat Undang-Undang JAS membenarkan hasil analisis itu didedahkan, kita akan maklumkan kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi.

KESAN sisa kimia masih lagi dapat dilihat selepas seminggu kejadian kes pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong Kempas. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KESAN sisa kimia masih lagi dapat dilihat selepas seminggu kejadian kes pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong Kempas. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Minggu lalu, Mohd Famey dilaporkan media berkata, tiga bahan kimia utama dikesan berada di udara dan anak sungai di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini.

Bagaimanapun, Mohd Famey dilaporkan berkata, tiga bahan kimia itu tidak boleh didedahkan buat masa ini sebelum elemen sebenar sisa kimia itu disahkan Jabatan Kimia.

Hasil cerapan JAS minggu lalu mendapati ada tiga jenis bahan kimia yang utama berada di udara kampung ini. Bagaimanapun, ia semakin berkurangan pada tahap antara 0.6 hingga 1 ppm selepas hujan pada malam Selasa, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 5:30 PM