Kawasan berlaku pencemaran bau di Kampung Baru Sri Aman, Kempas di Johor Bharu yang didakwa berlaku pada Selasa lalu. Foto Omar Ahmad
Kawasan berlaku pencemaran bau di Kampung Baru Sri Aman, Kempas di Johor Bharu yang didakwa berlaku pada Selasa lalu. Foto Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Polis percaya sisa bahan buangan terjadual yang mencemarkan Sungai Tawakal di Kampung Baru Sri Aman, Kempas di sini, dibawa dari lokasi lain.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, namun siasatan lanjut masih dibuat oleh pihaknya.

Menurutnya, soal siasat terhadap sembilan suspek termasuk pemilik premis yang direman masih lagi dilakukan.

"Setakat ini, masih lagi kekal sembilan suspek yang ditahan termasuk pemilik premis.

"Kita masih lagi membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) mungkin akan ada operasi susulan. Kita percaya lori ini ambil bahan kimia ini di lokasi lain.

"Kesemua suspek masih lagi direman dan soal siasat masih berjalan. Setakat ini membabitkan satu premis sahaja. Kita akan buat operasi susulan.

"Insya-Allah...akan kenal pasti dengan JAS bagaimana bahan-bahan buangan ini dibawa dan soal siasat masih berjalan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Sebelum ini, lapan individu yang disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas di sini, Selasa lalu, direman tiga hari bermula semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Dr Mohd Famey Yusoff memaklumkan seorang individu yang ditahan sudah selesai diambil keterangan semalam dan dilepaskan dengan jaminan polis.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kelmarin media melaporkan empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong di sini, pengsan dan ramai lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki daripada bahan kimia di sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 2:11 PM