Dr. Mohd Famey Yusoff.
Dr. Mohd Famey Yusoff.
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Lapan suspek disyaki membuang sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas di sini, Selasa lalu, dibebaskan daripada reman, hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, semua suspek berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka selesai dirakam agensi berkenaan.

"Kesemua lapan suspek yang ditahan reman sejak Khamis lalu telah lengkap diambil keterangan dan dibebaskan hari ini.

"Ketika ini pegawai siasatan JAS sedang melengkapkan kertas siasatan dan apabila siap kita akan buat pertuduhan di mahkamah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Khamis lalu, lapan suspek direman tiga hari, manakala seorang lagi suspek memberi keterangan Rabu lalu dan dilepaskan dengan jaminan polis.

Rabu lalu, Media melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong di sini, pengsan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada Sungai Tawakal, berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Selasa itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah sehari selepas insiden berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pula dilaporkan berkata, sembilan suspek sudah ditahan membabitkan lima warga tempatan serta empat warga asing selain pemilik premis, bagi membantu siasatan insiden pembuangan sisa kimia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:07 PM