Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Mangsa sisa pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, masih trauma dan fobia walaupun insiden berkenaan sudah seminggu berlalu.

Rozina Ahmad, 46, berkata, lidahnya masih berasa pedar, saluran nafas sempit dan batuk selain cepat penat apabila melakukan kerja rumah.

Katanya, kesan yang sama turut dirasai seorang lagi mangsa sisa kimia itu iaitu kakaknya, Zalina Ahmad, 49, yang turut pengsan selepas terhidu bau gas berbahaya itu.

Beliau berkata, bau sisa kimia sudah hilang selepas tiga hari insiden itu berlaku namun apabila hujan baunya masih boleh dihidu walau tidak sekuat pada hari kejadian minggu lalu

"Bagaimanapun, saya dan keluarga masih mengalami fobia dan trauma sehingga bimbang hendak keluar melakukan aktiviti berkebun dan bersantai di kawasan anak sungai atau anjung rumah kami seperti dahulu.

"Jika sebelum ini, kami mengambil air dari anak sungai untuk siram pelbagai pokok di kebun selain cucu sering mandi di situ, namun kini kami tidak lagi berani ke situ lagi.

"Kesan tompokan minyak hitam yang juga sisa kimia masih lagi dapat dilihat di bahagian tebing dan tersekat di dasar anak sungai, walaupun tidak banyak.

"Malah haiwan termasuk burung wak-wak serta monyet yang banyak berkeliaran di sini, sudah tidak lagi datang ke sini sejak insiden sisa kimia berlaku," katanya.

ROZINA bersama suaminya Abd Rahim menunjukkan  keadaan anak sungai selepas seminggu kejadian kes pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong Kempas. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ROZINA bersama suaminya Abd Rahim menunjukkan keadaan anak sungai selepas seminggu kejadian kes pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong Kempas. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Minggu lalu, media melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah, sehari selepas kejadian itu.

Tinjauan yang dilakukan di anak sungai serta Sungai Tawakal di kampung berkenaan mendapati sisa kimia terutama tompokan minyak masih dapat dilihat dengan jelas di tebing selain dasar sungai.

Bau sisa kimia berkenaan juga dapat dihidu ketika berada di anak sungai di situ namun baunya tidak sekuat minggu lalu.

Sementara itu, Rozina berkata, beliau membuat laporan polis Jumaat lalu, sebagai langkah keselamatan diri dan keluarganya.

Katanya, ia juga sebagai memudahkan diri serta kakaknya mengambil tindakan perundangan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa kimia di kawasan kampung itu.

"Tindakan undang-undang akan diteruskan namun kami menunggu pihak terbabit didakwa di mahkamah sebelum tindakan susulan akan diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 3:19 PM