Dr. Mohd Famey Yusoff.
Dr. Mohd Famey Yusoff.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiga bahan kimia utama dikesan berada di udara dan tali air di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, tiga bahan kimia itu tidak boleh didedahkan buat masa ini sebelum elemen sebenar sisa kimia itu disahkan Jabatan Kimia.

Katanya, sampel pencemaran sisa kimia di tali air dan Sungai Tawakal, di Kempas, sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

"Namun hasil cerapan JAS pagi ini mendapati ada tiga jenis bahan kimia yang utama berada di udara kampung ini. Bagaimanapun, ia semakin berkurangan pada tahap antara 0.6 hingga 1 ppm selepas hujan pada malam tadi.

"Sampel kimia itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya atau Melaka, bagi mendapatkan bacaan keputusan lebih terperinci dan tepat berhubung kandungan sebenar sisa kimia yang dikesan di tali air dan sungai berkenaan.

"Jabatan Kimia di Johor kini sedang menjalani proses pengubahsuaian, oleh itu sampel sisa kimia yang diambil akan dihantar ke Petaling Jaya atau Melaka bagi mendapatkan keputusan segera.

"Analisis terhadap sisa kimia berkenaan sangat penting bagi kita mengetahui apakah elemen sebenar di dalam sisa kimia yang dipercayai dibuang di tali air dan Sungai Tawakal, Kempas, malam tadi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis.

Ditanya sama ada sisa kimia yang dibuang di tali air dan Sungai Tawakal, Kempas, itu berbahaya kepada orang awam, Mohd Famey berkata, hanya sisa kimia dalam kuantiti yang besar akan memberi kesan kepada penduduk seperti insiden malam tadi.

Katanya, JAS Johor percaya kuantiti sisa kimia yang dibuang itu adalah dalam jumlah besar, namun ia dikesan terampai di udara khususnya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, dalam tempoh 12 jam, sebelum hilang.

"Hujan lebat malam tadi berjaya menghilang pencemaran udara di kampung ini dan sisa kimia yang berada di tali air dan Sungai Tawakal, juga didapati sudah mengalir dibawa air.

"Apabila bahan kimia dalam kuantiti banyak ia akan beri kesan kesihatan pada orang awam seperti insiden malam tadi, namun keadaan semakin terkawal dan selamat, berikutan kesan sisa kimia itu semakin hilang," katanya.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam kenyataan hari ini berkata, JAS sudah membuat pemantauan ketat kualiti udara dan air yang disebabkan oleh pembuangan bahan kimia di Kampung Baru Sri Aman, Kempas.

"Insya-Allah, saya akan menyusul ke sana dan kemas kini maklumat semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:10 PM