Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Pasar Awam Taman Chai Leng di sini, ditutup selama 10 hari bermula kelmarin selepas terdapat 11 peniaga dan pekerja dekat situ dilaporkan positif Covid-19.

Ia menjadikan pasar awam ketiga di Seberang Perai selepas Pasar Awam Bagan Ajam dan Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup berikutan penularan wabak berkenaan.

Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah turun ke pasar itu kelmarin bagi menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi berkaitan.

"Berdasarkan pemantauan yang dibuat, pihak PKD Seberang Perai Tengah mengarahkan supaya penutupan pasar dibuat mulai jam 3 petang semalam (kelmarin) hingga 29 Jun atau sehingga dimaklumkan kelak bagi membolehkan siasatan pengesanan kontak rapat dan menjalankan aktiviti saringan serta kerja-kerja sanitasi di tapak.

"MBSP juga menyeru supaya mana-mana peniaga yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dan diminta untuk menjalankan ujian saringan dengan segera hadir atau menghubungi Bilik Gerakan PKD Seberang Perai Tengah di talian 04-5397884 bagi mendapatkan janji temu.

"Semua peniaga atau pengunjung pasar awam itu yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 akan dihubungi oleh PKD untuk arahan menjalani ujian saringan," katanya dalam kenyataan semalam.

Notis perintah tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di Pasar Awam Taman Chai Leng di sini. FOTO DANIAL SAAD
Notis perintah tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di Pasar Awam Taman Chai Leng di sini. FOTO DANIAL SAAD

Menurutnya, mana-mana peniaga yang ingin menjalankan ujian saringan juga boleh berbuat demikian di mana-mana klinik swasta dan memaklumkan kepada MBSP hasil keputusan yang diperolehi untuk tujuan rekod dan perancangan selanjutnya.

"Para peniaga diingatkan supaya mematuhi arahan penutupan pasar awam ini dan tidak dibenarkan untuk berniaga sehingga 29 Jun atau tarikh lain yang dimaklumkan kelak.

"Penutupan pasar awam ini membabitkan 143 peniaga dalam pasar dan 56 peniaga pasar pagi di luar bangunan pasar awam.

"MBSP juga mengambil tindakan berwaspada dengan mengarahkan 14 kakitangannya iaitu Wira Oren dan Merinyu Lesen (ML) yang bertugas di pasar awam itu untuk kuarantin di rumah sehingga mendapat keputusan ujian saringan," katanya.

Menurutnya, peniaga yang diarahkan untuk menjalani ujian saringan namun tidak berbuat demikian boleh diambil tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 2:12 PM