BAZAR Ramadan. FOTO Aizuddin Saad
BAZAR Ramadan. FOTO Aizuddin Saad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Bazar Ramadan Masjid At Taqwa, Taman Bertam Indah dan Jalan Tenggiri, Seberang Jaya dekat sini ditutup selama tiga hari bermula Ahad ini.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud selepas mengadakan Mesyuarat Task Force Pengurusan Krisis Covid-19 sebentar tadi.

Rozali berkata, keputusan penutupan dibuat susulan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang disampaikan melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengarahkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menutup operasi bazar Ramadan seperti yang disenaraikan.

"Oleh itu, kita mengadakan mesyuarat dan bersetuju menutup sementara operasi dua bazar ini bermula 2 Mei hingga 4 Mei.

"Namun begitu, peniaga terbabit boleh mencadangkan untuk berniaga di lokasi lain yang dipersetujui oleh penganjur dan MBSP," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, MBSP boleh memberi kebenaran kepada penganjur untuk beroperasi di tempat baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"SOP terbaharu yang ditetapkan adalah hanya satu orang dari satu keluarga sahaja dibenarkan memasuki kawasan bazar dan penganjur dikehendaki melantik petugas tambahan untuk memastikan pengunjung tidak bersesak sesak di meja jualan.

"Pada masa sama SOP sedia ada antaranya mengambil suhu, menyediakan satu jalan keluar dan masuk, memakai pelitup muka, penyediaan cecair pembasmi kuman serta mendaftar masuk melalui aplikasi My Sejahtera perlu terus dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, Rozali berkata, penganjur di dua bazar yang diarah tutup diminta menjalankan kerja disinfeksi dan sekiranya mereka berdepan masalah boleh memohon bantuan daripada pihak MBSP.

"Semua penganjur, peniaga dan pengunjung bazar Ramadan di Seberang Perai diminta terus mematuhi SOP supaya arahan penutupan ini tidak lagi berlaku di lokasi lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:49 PM