Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Sebanyak 30 pasar awam di bawah kendalian Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini dalam pemantauan ketat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, tindakan berkenaan diambil dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

"Kita minta semua peniaga dan pengunjung di semua pasar awam MBSP mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Jika berlaku pelanggaran SOP maka tindakan penutupan serta-merta akan diambil," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Rozali bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo mengadakan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Bagan Ajam, di sini.

MBSP sebelum ini menutup kompleks makanan dan petak khinzir di Pasar Awam Bagan Ajam pada Rabu hingga Jumaat lalu selepas terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan melalui Kluster Terbilang.

MBSP mengeluarkan notis arahan penutupan di kompleks makanan dan petak khinzir Pasar Awam Bagan Ajam, Jalan Terbilang di sini. FOTO Danial Saad
MBSP mengeluarkan notis arahan penutupan di kompleks makanan dan petak khinzir Pasar Awam Bagan Ajam, Jalan Terbilang di sini. FOTO Danial Saad

Kluster itu dipercayai berpunca daripada seorang lelaki warga Myanmar berusia 49 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 Mei lalu.

Arahan penutupan kemudian dilanjutkan sehingga hari ini bagi kerja-kerja sanitasi menyeluruh dibuat.

Sementara itu, Rozali berkata, MBSP akan memasang kawat berduri di enam pasar awam di Seberang Perai yang dikenal pasti mempunyai masalah laluan tikus.

"Ia membabitkan Pasar Awam Kepala Batas, Pasar Awam Bagan Ajam, Pasar Awam Taman Selamat, Pasar Awam Taman Berjaya, Pasar Awam Tambun Indah, dan Pasar Awam Sri Uda.

"Buat masa ini, pemasangan kawat berduri di Pasar Awam Kepala Batas sudah selesai dan lain-lain pasar awam di dalam senarai akan dipasang dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 2:04 PM