GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah terbabit bencana melegakan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rakyat terutama di kawasan rendah yang sering terbabit banjir ketika Monsun Timur Laut pada akhir tahun pasti menarik nafas lega.

"Kenaikan 100 peratus itu menandakan keprihatinan tinggi Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Dengan kenaikan ini serta bantuan dihulurkan oleh kerajaan negeri, ia pasti dapat meringankan lagi beban ditanggung oleh rakyat yang terkesan dengan bencana berkenaan," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp, hari ini.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau bencana lain yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Ismail Sabri dipetik berkata, inisiatif BWI itu dijangka dapat meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah membabitkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 3:48 PM