GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia memutuskan untuk tidak meneruskan Program Vaksinasi Tenaga Kerja Nasional (Protek) yang bermula Ogos lalu.

Menterinya, Datuk M Saravanan berkata, penamatan program itu disebabkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) memutuskan untuk membenarkan pekerja warga asing mendapatkan vaksin secara terus tanpa janji temu (walk-in) mulai 1 Ogos lalu. "Ramai majikan menyahut seruan kerajaan dan menghantar pekerja ke pusat pemberian vaksin maka kita memutuskan untuk tidak meneruskan Protek," katanya ketika menjawab soalan lisan M Kulasegaran (PH- Ipoh Barat) di Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran mahu kerajaan masih melancarkan Protek dan mengenakan bayaran terhadap majikan ataupun potongan levi untuk vaksinasi sedangkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5 bilion untuk vaksinasi.

Saravanan berkata, pada awalnya, pihaknya melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) mengambil inisiatif untuk melaksanakan Protek bermula pada Ogos lalu memandangkan syarikat ingin mempercepatkan pemberian vaksin kepada pekerja mereka.

"Program ini menawarkan pilihan kepada majikan yang sukarela mahu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada para pekerja bagi meningkatkan kadar imuniti kelompok dalam kalangan mereka.

"Melalui inisiatif ini, pihak majikan khususnya di sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menjadi tunjang utama ekonomi negara, dapat beroperasi semula dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing, seterusnya mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara serta menjamin kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 11:50 AM