PROGRAM Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS). FOTO arkib NSTP
PROGRAM Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS). FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pendaftaran Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi sektor pembuatan akan dipercepatkan dengan pelaksanaan pendaftaran secara dalam talian di http://pikas.miti.gov.my.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata PIKAS mendapat sambutan menggalakkan dan membantu menyokong mempercepatkan kadar vaksinasi rakyat Malaysia.

"Syarikat yang menghantar maklumat melalui emel sebelum ini disaran untuk memasukkan maklumat syarikat mereka di sistem dalam talian PIKAS supaya maklumat tersebut lengkap bagi tujuan penyelarasan dan pemprosesan.

"PIKAS memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada pekerja sektor pembuatan untuk berasa selamat ke tempat kerja. Program ini juga adalah langkah pragmatik untuk meningkatkan semula produktiviti syarikat dalam kita menyesuaikan hidup bersama pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat 14 Julai lalu, sebanyak 10,522 syarikat membabitkan 903,244 pekerja di seluruh negara mendaftar di dalam PIKAS. Daripada jumlah ini, 101,117 menerima dos pertama vaksinasi.

Pada tarikh yang sama juga, sebanyak 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS memulakan operasi di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

MITI dengan kerjasama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) juga sedang melipatgandakan usaha untuk menambah bilangan PPV PIKAS sedia ada bagi meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan tenaga kerja sektor pembuatan di Malaysia.

Beliau berkata syarikat-syarikat sektor pembuatan yang berminat menyertai PIKAS boleh layari www.miti.gov.my atau hubungi talian hotline PIKAS di 03-62071193, 03-62071194, 03-62071195 atau 03-62071196 atau emel pikas.enquiry@miti.gov.my.

PIKAS dilancarkan pada 16 Jun 2021 merupakan sebuah kolaborasi strategik seumpamanya di antara pihak awam dan swasta yang fokusnya untuk mempercepatkan vaksinasi di kalangan pekerja dalam sektor pembuatan.

Melalui PIKAS, kerajaan menyediakan vaksin secara percuma manakala pihak swasta akan membiayai dan menguruskan PPV, sekali gus mengurangkan kos pentadbiran pemberian vaksin yang perlu ditanggung kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 4:02 PM