DATUK Seri Amirudin Shari ketika sidang media sewaktu hadir meninjau keadaan pusat vaksin. FOTO Bernama
DATUK Seri Amirudin Shari ketika sidang media sewaktu hadir meninjau keadaan pusat vaksin. FOTO Bernama
Hajar Umira Md Zaki


Petaling Jaya: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyangkal dakwaan kerajaan negeri mengambil atau menyimpan stok vaksin yang diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan.

"Vaksin yang kami terima adalah ditempah sendiri daripada pembekal dan mereka adalah pembekal tegar vaksin Sinovac,

"Dari awal saya sedar Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) harus mendapatkan bekalan vaksin yang secukupnya,

"Kami juga mempunyai jadual yang disusun dan membuat perbincangan bersama pembekal sejak Januari lalu.

"Justeru, di sini tidak timbul isu mengambil stok yang diperuntukkan kerajaan," katanya ketika sidang media Program Vaksinasi Selangor (Selvax) di sini, hari ini.

Amirudin berkata, ia adalah bukan soal keuntungan berikutan ada vaksin yang disediakan secara percuma

"Walaupun jumlah vaksin kita besar, namun kos pengurusan kita lebih rendah dan ia tidak menimbulkan soal ambil keuntungan," katanya.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, bekalan vaksin yang diberikan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvesyen Tropicana Gardens adalah jenis Sinovac.

"Kami memilih Sinovac berikutan lebih mudah untuk dijaga dari segi pengurusan dan penjagaan suhu," katanya.

Menurutnya, dengan adanya PPV Pusat Konvesyen Tropicana Gardens ini, akan dapat membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin serta bagi mencapai tahap imuniti kelompok.

Malah, pihaknya menerima pendaftar 50,000 syarikat menerusi program vaksinasi Selvax dan merangkumi sekitar dua juta pekerja mereka.

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak 2.5 juta vaksin dan 500,000 daripadanya diperuntukkan kepada masyarakat menerusi Selvax.

"Bermula Sabtu lalu, sebanyak 18,000 dos vaksin sudah diberi di PPV Pusat Konvensyen Tropicana Gardens.

"Menerusi keupayaan yang kita ada, saya percaya kita boleh memberikan vaksinasi kepada sehingga 16,000 sehari dan mempercepatkan proses vaksinasi di Selangor,

"Ada beberapa kategori yang diberikan secara percuma, antaranya golongan pentadbiran negeri, daerah serta guru-guru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:18 PM