FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
M Hifzuddin Ikhsan
ahifzuddin@bh.com.my


Alor Setar: Kerajaan negeri dalam persiapan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Integrasi terbesar di SP Sport Center, Sungai Petani, Kedah yang mampu memberi sehingga 5,000 suntikan sehari.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ini selaras peningkatan bekalan vaksin sehingga 226,000 dos seminggu yang diterima negeri bertujuan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat.

"PPV Megas Integrasi SP Arena akan memulakan operasi Selasa depan dan ia dibuka dengan kerjasama ProtectHealth Corporation.

"Selain itu, PPV Dewan Kenangan, Sungai Petani juga akan dinaik taraf menjadi PPV Mega Integrasi mulai 11 Ogos bagi kemudahan awam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya dalam proses meneliti cadangan pembukaan PPV Integrasi di lokasi bersesuaian bagi meningkatkan keupayaan PPV awam kepada PPV Integrasi supaya suntikan vaksin dipertingkat ke tahap maksimum.

"Ketika ini, kita sudah mempunyai dua PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Taman Teknologi Tinggi Kulim dengan kapasiti 3,000 suntikan sehari dan PIKAS Sungai Petani sebanyak 5,000 suntikan sehari.

"Kita juga sedang menanti kelulusan bagi pembukaan PPV PIKAS di Jitra untuk menampung vaksinasi pekerja industri di Alor Setar dan Kubang Pasu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri yakin 80 peratus penduduk Kedah akan menerima dos lengkap vaksin menjelang akhir Oktober atau awal November depan.

"Vaksinasi adalah jalan keluar daripada pandemik Covid-19 dan kita memberi tumpuan penuh kepada program vaksinasi sebagai langkah menghadapi peningkatan kes yang kian bertambah di seluruh daerah.

"Kita berharap program vaksinasi yang dipertingkat saban hari dapat membina imuniti kelompok, seterusnya menurunkan kes positif di Kedah serta menyelesaikan isu fasiliti rawatan di hospital yang berlaku ketika ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 5:55 PM