Hasni (kanan) melihat pemberian vaksin kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) di KPJ Abdul Samad. FOTO Omar Ahmad
Hasni (kanan) melihat pemberian vaksin kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) di KPJ Abdul Samad. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan negeri melaksanakan program vaksinasi berbayar menerusi Johor Vaksin- Immunisation Programme (JVIP) bermula hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, JVIP inisiatif kerajaan negeri bagi menyokong dan melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Katanya objektif utama JVIP untuk mempercepatkan proses mencapai imuniti kelompok negeri dengan meningkatkan pengambilan vaksin dalam kalangan pekerja industri, melindungi rakyat Johor sekaligus mempercepatkan pemulihan ekonomi.

"Sebagai permulaan, 20,000 dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac akan dijual pada harga RM350 bagi dua dos lengkap.

"Program ini menyasar sehingga satu juta pekerja dari pelbagai industri seperti pembuatan peruncitan, pelancongan dan lain-lain sebagai peringkat permulaan sebelum diperluaskan sepenuhnya kepada orang awam.

"Kerajaan negeri menyasar lebih banyak pembekal sah vaksin Covid-19 dan penyedia khidmat vaksinasi akan menyertai program JVIP ini di seluruh negeri Johor pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di KPJ Abdul Samad, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu.

Menurut Hasni, JVIP dilaksanakan sepenuhnya melalui ImmuPlan iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri sedia ada yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif membabitkan pembekalan vaksin dan syarikat swasta.

Katanya, sistem ImmuPlan untuk program vaksinasi petugas barisan hadapan ekonomi Johor sudah dinaik taraf untuk melaksanakan keperluan program JVIP.

"Kerajaan negeri bersetuju melantik Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) sebagai peneraju dan pemudah cara proses vaksinasi pihak industri di negeri Johor. Dengan kerjasama antara J-Biotech, ImmuPlan, syarikat pembekal vaksin Covid-19 berdaftar dan penyedia fasiliti kesihatan swasta.

"Program ini menawarkan perkhidmatan vaksinasi berbayar secara sukarela dan pilihan pusat vaksinasi di pelbagai hospital dan klinik swasta di negeri Johor.

"Sebagai fasa permulaan, ia dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Pharmaniaga Berhad melalui Seaview Healthtech Sdn Bhd sebagai pengedar vaksin (Sinovac).

"Manakala KPJ Healthcare Berhad sebagai penyedia pusat dan khidmat vaksinasi. Pendaftaran dan tempahan temu janji vaksinasi JVIP boleh dibuat melalui laman web https://www.immuplan.my/ bermula hari ini,"katanya.

Setakat ini, pencapaian vaksinasi di Johor, daripada 2.8 juta rakyatnya mencatatkan 47.6 peratus bagi dos pertama dan 19 peratus bagi dos kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 2:45 PM