Antara penerima vaksin Covid-19 di bawah program vaksinasi bergerak PBSM dengan kerjasama Maxis.
Antara penerima vaksin Covid-19 di bawah program vaksinasi bergerak PBSM dengan kerjasama Maxis.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mempercepatkan usaha vaksinasi di negara melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Maxis telah bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) untuk menyokong program vaksinasi bergerak PBSM.

Maxis telah menyumbang dana untuk menampung pelaksanaan inisiatif vaksinasi bergerak, yang merangkumi penyesuaian kenderaan, ambulans, peralatan perubatan dan tenaga kerja.

Selain itu, Maxis juga menyediakan talian Hotline PBSM melalui tajaan mudah alih Hotlink Unlimited yang disertakan dengan internet bulanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, pihaknya menyokong penuh usaha vaksinasi bergerak PBSM yang dapat menjangkau lebih ramai golongan rentan dan mereka yang mengalami kesukaran bergerak untuk mendapatkan vaksin.

"Pada masa sama, kami juga ingin membantu pasukan barisan hadapan yang telah mengorbankan masa dan menghadapi risiko nyawa dalam menjalankan tugas mereka.

"Di Maxis, kami percaya bahawa kita semua perlu bekerjasama untuk mengatasi wabak ini, dan kami komited untuk memainkan peranan dalam membantu negara," katanya dalam kenyataan.

Seorang warga emas menerima vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin bergerak kendalian PBSM dengan kerjasama Maxis.
Seorang warga emas menerima vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin bergerak kendalian PBSM dengan kerjasama Maxis.

Menurutnya, program vaksinasi bergerak PBSM adalah sebahagian daripada inisiatif klinik bergerak di bawah PICK yang membawa vaksin Covid-19 kepada komuniti yang memerlukan bantuan di Lembah Klang, termasuk masyarakat luar bandar, individu terlantar, Orang Asli, serta golongan yang tidak berumah, tanpa kewarganegaraan/tanpa dokumen dan pendatang.

Selain usaha dengan PBSM, Maxis juga telah menyumbang makanan kepada sukarelawan salah satu pusat pengedaran vaksinasi sebagai tanda menghargai usaha berani mereka yang tampil ke hadapan dan berdedikasi menyumbangkan masa untuk menolong dalam situasi yang mencabar ini.

Sementara itu, menurutnya, Maxis sebagai majikan juga menyokong pengambilan vaksin sebagai tanda komitmen dalam melindungi pekerjanya dan memastikan tempat kerja yang selamat.

"Di bawah inisiatif memvaksinasi pekerja Maxis iaitu #VaccinateTogether, lebih 95 peratus kakitangan Maxis telah mendaftar untuk menerima vaksin di bawah PICK dan pelbagai inisiatif lain.

"Semua pekerja Maxis juga diberi cuti tambahan untuk tujuan vaksinasi.

"Selain itu, lebih 600 pekerja Maxis dan ahli keluarga terdekat juga telah menerima suntikan pertama mereka di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya mulai 18 Julai lalu dan dari klinik panel di luar Lembah Kelang yang dilantik dari 1 Ogos 2021, di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 5:14 PM