Ahmad Amzad Hashim (kiri)  ketika Program Outreach Vaksinasi. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Ahmad Amzad Hashim (kiri) ketika Program Outreach Vaksinasi. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Kerajaan tidak akan menangguhkan suntikan vaksin terhadap masyarakat Orang Asli, sebaliknya memberi keutamaan kepada mereka.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) sudah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi kegunaan penduduk di kawasan yang sukar dimasuki.

Katanya, kedua-dua vaksin itu hanya memerlukan satu dos suntikan yang dijangka tiba pada hujung Julai ini.

"Justeru, kita menggunakan bekalan vaksin yang ada seperti biasa dan apabila vaksin CanSino tiba, Orang Asli akan mendapat keutamaan.

"Ia bukan sahaja memudahkan Orang Asli, malah memudahkan urusan logistik di pihak kesihatan yang terpaksa melalui jalan yang sukar untuk memberikan suntikan vaksin kepada komuniti berkenaan.

"Selain Orang Asli, mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil juga boleh mendapatkan vaksin jenis ini," katanya selepas Program Outreach Vaksinasi Perkampungan Orang Asli di Kampung Kluat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Ahmad Amzad berkata, kerajaan memberi komitmen bagi memastikan rakyat di negara ini mendapat perlindungan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tanpa mengira kekangan termasuk lokasi untuk diakses.

"Bukan mudah hendak sampai ke penempatan Orang Asli yang sangat jauh seperti di Kluat, Kuala Krai apabila kami terpaksa menaiki feri dan menempuh perjalanan menggunakan pacuan empat roda selama lebih sejam untuk meredah hutan bagi memberi suntikan vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Amzad berkata, kerajaan juga sedang mengkaji keperluan serta keberkesanan untuk memberikan suntikan vaksin (booster) ketiga kepada rakyat.

"Ini adalah satu-satunya perkara yang sedang diteliti oleh pakar di seluruh dunia pada ketika ini memandangkan kita masih belum dapat memastikan tahap antibodi yang ada terhadap vaksin dua dos yang sudah diberikan sama ada boleh bertahan setahun, dua tahun atau tiga tahun.

"Setakat ini, kita masih menunggu untuk mendapatkan keputusan yang konklusif berhubung perkara itu sebelum keputusan muktamad dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:42 PM