DR Abd Latiff (kanan) beramah mesra bersama seorang pemuda Orang Asli yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di dalam  PPV Bas Bergerak MARA Liner.
DR Abd Latiff (kanan) beramah mesra bersama seorang pemuda Orang Asli yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di dalam PPV Bas Bergerak MARA Liner.
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Mersing: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mempergiatkan usaha memberi penerangan mengenai suntikan vaksin khususnya kepada masyarakat Orang Asli bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), pihaknya turut memperkenalkan bas bergerak MARA Liner bagi dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk membawa vaksin ke perkampungan Orang Asli dan masyarakat pedalaman.

Katanya, selain membantu memudahkan urusan pengambilan vaksin, bantuan secara bersasar kepada masyarakat luar bandar turut diberi perhatian untuk mengharungi impak pandemik Covid-19.

"KPLB berharap supaya semua 144,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak divaksin dapat menerima suntikan segera bagi membantu kerajaan mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus rakyat Malaysia sebelum akhir tahun ini.

"Sehingga 29 Jun lalu, seramai 6,769 Orang Asli menerima vaksin dos pertama manakala seramai 1,599 Orang Asli sudah divaksin dos kedua.

"Kejayaan pelaksanaan dasar kerajaan antara lain ditentukan oleh keberkesanan komunikasi dan KPLB akan membantu memudah cara penyampaian maklumat termasuklah berkaitan bantuan supaya dapat dimanfaatkan masyarakat," katanya ditemui selepas mengadakan lawatan di Kampung Orang Asli Tanah Abang di sini, semalam.

Pada program itu, seramai 215 masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinovac.

Program itu dijalankan menerusi kerjasama antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Covid-19 Immunisation Task Force (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

BAS MARA Liner dijadikan sebagai PPV bergerak untuk membawa vaksin ke perkampungan Orang Asli dan masyarakat pedalaman.
BAS MARA Liner dijadikan sebagai PPV bergerak untuk membawa vaksin ke perkampungan Orang Asli dan masyarakat pedalaman.

Terharu terima suntikan vaksin

"Saya terharu ada yang prihatin sehingga sanggup ke rumah memberikan vaksin kepada saya walaupun saya cacat," kata Yatim Deron.

Yatim, 49, penduduk Kampung Orang Asli Tanah Abang di sini, terlantar sejak 28 tahun lalu akibat dihempap kayu balak ketika kerja menebang sehingga menyebabkannya lumpuh separuh badan.

"Terima kasih kerana tidak pinggirkan saya. Sejak lumpuh, dua anak lelaki menjaga dan menyara saya hasil menoreh getah di kebun berhampiran. Jadi, saya ada kekangan dari segi pergerakan untuk ke mana-mana.

"Memang perasaan takut untuk menerima vaksin itu ada, tetapi saya nampak orang lain turut sama menerimanya dan mereka nampak sihat, itu yang membuatkan saya setuju untuk disuntik," katanya yang lumpuh kedua kakinya selain tulang belakang disokong dengan besi.

Yatim yang sudah menerima dos pertama vaksin, menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal Johor.

Sementara itu, penoreh getah, Inti Angan, 50, berkata ahli keluarga yang sudah menerima vaksin meyakinkannya untuk melakukan suntikan vaksin seumpama.

"Saya tidak rasa sakit pun dan seorang anak lelaki saya juga sudah ambil vaksin.

"Jiran saya pun sama-sama datang temankan ambil vaksin, apabila ramai hadir, lebih yakin semuanya demi kebaikan masyarakat," katanya.

Yatim Deron, 49, antara 179 orang masyarakat Orang Asli yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di  di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Yatim Deron, 49, antara 179 orang masyarakat Orang Asli yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 9:51 AM