SEBANYAK 192 Bakul makanan diagihkan kepada penduduk Orang Asli, tiga kampung yang kini dikenakan PKPD di Cameron Highlands. FOTO Mohd Rafi Mamat
SEBANYAK 192 Bakul makanan diagihkan kepada penduduk Orang Asli, tiga kampung yang kini dikenakan PKPD di Cameron Highlands. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang mengagihkan bakul makanan kepada 192 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di tiga kampung di Cameron Highlands yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sebanyak 50 bakul makanan diagih ke kampung Sungai Chohong; Sungai Kabuk (51) dan Sungai Tiang (91) bagi membantu masyarakat setempat.

Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi berkata, bakul makanan itu mula diagihkan kelmarin yang dilakukan kakitangan Jakoa daerah Cameron Highlands.

Menurutnya, jabatan sentiasa prihatin dengan nasib masyarakat Orang Asli di negeri ini apabila sebelum ini bantuan bakul makanan diberikan kepada semua KIR oleh kerajaan pusat dan negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bantuan sama diberikan sekali lagi apabila kampung atau penempatan Orang Asli berada dalam lokaliti PKPD.

"Hampir setiap bulan Jakoa memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai tambahan untuk menyediakan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di kawasan PKPD," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, jabatan sentiasa menasihatkan kepada masyarakat Orang Asli supaya sentiasa memberi perhatian terhadap wabak Covid-19 di kawasan penempatan mereka, sedikit kecuaian akan mengundang perkara buruk seterusnya menyebabkan kematian.

Sementara itu, Johari berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi vaksinasi kepada remaja Orang Asli berusia 16 tahun ke atas menggunakan vaksin dos tunggal CanSino.

"Menerusi Program 'Outreach' Vaksin Covid-19 kita bergerak dari dari satu daerah ke satu daerah dalam usaha memberi vaksin kepada semua masyarakat Orang Asli yang layak.

"Tumpuan kini di kawasan pedalaman yang memerlukan perjalanan jauh... Kawasan pinggir bandar kebanyakan sudah selesai menerima vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 4:00 PM