LIMA lelaki ditahan bersama senapang jenis bakakuk dalam OBK di Jalan Kalabakan - Sepulut, malam tadi. FOTO Ihsan PGA Sabah
LIMA lelaki ditahan bersama senapang jenis bakakuk dalam OBK di Jalan Kalabakan - Sepulut, malam tadi. FOTO Ihsan PGA Sabah
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Lima lelaki dipercayai menjalankan kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan Jalan Kalabakan - Sapulut, ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK), malam tadi.

Dalam operasi 10.11 malam itu, pihak berkuasa turut merampas dua senjata api buatan sendiri jenis 'bakakuk' dan 35 butir peluru hidup.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika kejadian sepasukan anggota Tiger Platoon Batalion 14 PGA bersama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) sedang menjalankan rondaan OBK di sepanjang Jalan Kalabakan - Sapulut.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux diparkir di bahu jalan berkenaan sebelum lima lelaki berada di dalamnya dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan menemui dua laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk, 35 butir peluru hidup, tiga kelongsong dan beberapa alat lain.

"Turut dirampas Toyota Hilux, vest penguat kuasa Jabatan Hidupan Liar dan semua tangkapan berusia 24 hingga 43 tahun itu serta rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM143,575 dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 9:09 PM