SENJATA api buatan sendiri yang semakin berleluasa penggunaannya di Semenanjung Malaysia.
SENJATA api buatan sendiri yang semakin berleluasa penggunaannya di Semenanjung Malaysia.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Semakin menjadi-jadi. Itu yang berlaku apabila lima laras senapang buatan sendiri dan lebih 50 butir peluru hidup dirampas Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) sejak Januari lalu.

Jumlah itu hampir menyamai angka keseluruhan enam senjata api buatan sendiri dirampas Perhilitan sepanjang 2021.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, peningkatan mendadak rampasan senjata api dalam tempoh tidak sampai dua bulan pertama tahun ini jelas membimbangkannya.

Menurutnya, berdasarkan rekod, sembilan kes disiasat mengikut Akta Senjata Api 1971 hasil dari operasi dilakukan pihaknya sepanjang 2021.

ABDUL Kadir
ABDUL Kadir

"Namun sejak Januari 2022 sehingga semalam (kelmarin), Perhilitan sudah berjaya merampas lima senjata api buatan sendiri dan tiga kes disiasat mengikut Akta Senjata Api 1971.

"Angka rampasan ini mungkin akan terus meningkat berikutan ia tidak dicampur dengan kejayaan rampasan dilakukan pihak polis," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membenteras aktiviti pemburuan haram menggunakan senjata api buatan sendiri selain jerat.

Menurutnya, operasi bersama itu diyakini mampu meningkatkan keberkesanan dalam membanteras aktiviti pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar membabitkan warga tempatan atau asing.

Harian Metro semalam mendedahkan kecenderungan golongan pemburu haram tempatan yang kian gemar menghasilkan senapang buatan sendiri atau DIY untuk membunuh hidupan liar di hutan.

Kemahiran menghasilkan senjata api digelar bakakuk atau ginsuk di Borneo itu dikesan mudah dipelajari melalui rujukan media sosial dan YouTube. Terbaharu tiga lelaki ditahan selepas dikesan memiliki selaras senapang bersama 23 peluru hidup di sebuah pondok rumah pokok dalam Hutan Simpan Bukit Belata Tambahan, Hulu Selangor Rabu lalu.

Sebelum itu, Perhilitan turut merampas selaras senjata api buatan sendiri yang dibuang seorang pemburu haram di kawasan Jalan balak Kledang-Saiong, Perak Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 7:01 AM