ANGGOTA penguatkuasa memeriksa kenderaan ketika Ops Taskforce Bersepadu. FOTO ihsan Jabatan Perhutanan Sabah
ANGGOTA penguatkuasa memeriksa kenderaan ketika Ops Taskforce Bersepadu. FOTO ihsan Jabatan Perhutanan Sabah
Abdul Rahemang Taiming

LIMA lelaki disyaki pemburu haram ditahan menerusi Ops Taskforce Bersepadu yang dilancarkan di beberapa lokasi berasingan di kawasan hutan simpan dan ladang kelapa sawit di Tawau, baru-baru ini.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini berkata, semua suspek warga tempatan itu masing-masing berumur antara 27 hingga 47 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan tangkapan tiga suspek di Hutan Simpan Sapulut kerana memiliki hasil pemburuan tanpa lesen iaitu tiga babi hutan.

“Suspek kedua ditahan di ladang kelapa sawit selepas pememeriksaan terhadapnya menemukan sepasang tanduk rusa, 1.7 kilogram (kg) daging hidupan liar disyaki rusa, sepucuk senjata menyerupai senjata api bersama tiga butir peluru hidup jenis shotgun, serta sebutir kelongsong peluru,” katanya menerusi kenyataan di Tawau, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kes ketiga membabitkan tangkapan seorang lagi suspek kerana memiliki 47 helai bulu burung Enggang Badak (Tanda Mata Kerajaan) tanpa lesen di sebuah kawasan ladang kelapa sawit.

Jelas Mashor lagi, menerusi operasi itu juga, pasukan anggota pengutkuasa turut merampas bangkai babi hutan, organ babi hutan yang dibungkus didalam plastik, dan sebatang besi tajam disyaki di gunakan untuk memburu.

“Semua tangkapan dan rampasan masing-masing disiasat mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan aktiviti pemburun haram termasuk di kawasan hutan simpan yang juga kawasan larangan selain menjamin khazanah alam tidak pupus untuk warisan generasi akan datang.

Operasi lima hari yang berakhir hari ini membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tawau, Jabatan Hidupan Liar, Yayasan Sabah serta badan bukan kerajaan (NGO) iaitu WWF-MY dan DAMAI.

Ops Taskforce Bersepadu dilancarkan baru-baru ini untuk membanteras jenayah hutan termasuk aktiviti pemburuan haram selain mengekang penggunaan senjata api dan perluru haram dalam aktiviti pemburuan.

Kawasan tumpuan operasi membabitkan kawasan hutan simpan di Kalabakan, Hutan Maliau Basin, Hutan Simpan Sapulut, Hutan Simpan Gunung Rara, Jalan Sungai Kuamut dan kawasan Ladang kelapa Sawit sekitar Tawau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 3:57 PM