Izad Thaqif Hassan


Kubang Pasu: Lima tahun lalu, watak dibawanya dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku sebagai Buntat, pernah mencetuskan fenomena sehingga meraih populariti dalam sekelip mata.

Namun, kini Muhammad Ariff Abdullah, 17, lebih memberi fokus kepada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijangka tahun depan.

Selain itu, Muhammad Ariff yang kini sudah meningkat remaja turut mengambil kesempatan membantu bapanya yang menjual roti canai di medan selera berhampiran pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini.

Melihatkan tingkah lakunya kini, Muhammad Ariff lebih petah berbicara selain tidak kekok ketika mengambil pesanan dan melakukan kerja di kedai bapanya.

Malah, berbanding ketika awal mencipta nama, dia juga semakin ramah dan selesa ketika diaju pelbagai soalan mengenai perkembangan dirinya.

Tidak lekang dengan senyumannya, Muhammad Ariff memberitahu dia memang teringin untuk berlakon, namun disebabkan pandemik Covid-19 dia terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan selain tidak menerima sebarang tawaran.

MUHAMMAD Ariff atau 'Buntat' (kiri) membantu bapanya Abdullah Kasim, menyediakan roti canai di Medan Selera Kubang Pasu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
MUHAMMAD Ariff atau 'Buntat' (kiri) membantu bapanya Abdullah Kasim, menyediakan roti canai di Medan Selera Kubang Pasu. FOTO Luqman Hakim Zubir.

"Mungkin ada hikmahnya juga kerana disebabkan Covid-19 ini saya dapat fokus kepada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan SPM nanti.

"Kali terakhir saya menjalani penggambaran tahun lalu dalam satu babak drama 7 Hari Mencintaiku 2 dengan memegang watak sebagai Ariff," katanya ketika ditemui di kedai roti canai bapanya, di sini hari ini.

Menurutnya, dia tidak kisah sekiranya ditawarkan watak apa sekalipun selepas ini namun ia mungkin perlu seiring dengan usianya yang sudah meningkat remaja.

"Saya memang seronok berlakon dan yakin akan dapat menjiwai apa sahaja watak yang diberikan kerana minat dan enggan sia-siakan bakat yang ada," katanya.

Selain mencipta nama dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, Muhammad Ariff juga pernah berlakon dalam filem Jibam yang ditayangkan pada 2017 dengan memegang watak sebagai kanak-kanak istimewa.

Biarpun menghidap disleksia serta menghadapi masalah untuk membaca dan menulis namun Muhammad Ariff mempunyai daya ingatan yang kuat dan cenderung kepada perkara diminatinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 4:39 PM