Dua akaun palsu di laman sosial.
Dua akaun palsu di laman sosial.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Populariti dikecapi pelakon kanak-kanak yang membawa watak Buntat dalam drama 7 Hari Mencintaimu iaitu Muhammad Ariff Abdullah, 12, menyebabkan ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan membuka akaun Facebook dan Instagram palsu membabitkan namanya di laman sosial.

Menurut ibunya, Rosdiana Mastura Abdullah, 29, dia mula perasan kewujudan akaun palsu Facebook yang menggunakan nama Buntat dan Jibam ketika nama anaknya menjadi trending di laman sosial sebelum ini.

“Saya kesal dengan penyalahgunaan nama anak saya di laman Facebook dan Instagram.

“Saya tidak kisah kalau mereka sekadar memuat naik gambar anak saya tetapi kecewa apabila mereka menyalah gunakan nama anak saya untuk berniaga dan peraduan bagi menipu orang ramai.

“Sebagai ibu, pastinya saya tidak boleh terima perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Lagi pun Ariff bukan lagi Buntat atau Jibam kerana ia sekadar watak dalam drama popular terbabit,” katanya.

Rosdiana berharap orang ramai tidak tertipu dengan akaun palsu yang menggunakan nama anaknya itu.

“Saya berharap orang ramai berfikir secara rasional sebelum membeli sesuatu produk atau menyertai peraduan atas nama Buntat dan Jibam selepas ini.

“Tidak mungkin kanak-kanak disleksia seperti anak saya boleh menjual sesuatu atau menganjurkan peraduan tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Rosdiana berkata, dia terpaksa membuka akaun rasmi untuk Muhammad Ariff di laman sosial bagi mengelakkan orang ramai keliru.

“Saya sudah membuka akaun rasmi Facebook anak saya dengan menggunakan nama Muhammad Ariff.

Manakala, akaun instagram miliknya juga baru saja dibuka tiga hari lalu.

“Saya turut meminta kerjasama rakan artis dan pihak media untuk menguar-uarkan akaun rasmi anak saya ini supaya orang ramai tidak tertipu lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 6:54 PM