Nurhusmina Husna menunjukkan kemahiran menebar  roti canai  di gerai medan selera Taman Desa Bidara, Kuala Ketil.
Nurhusmina Husna menunjukkan kemahiran menebar roti canai di gerai medan selera Taman Desa Bidara, Kuala Ketil.
Sabaruddin Abd Ghani

Baling: Cekap menebar roti canai dengan pantas. Itu kemahiran dimiliki pelajar perempuan, Nurhusmina Husna Mohamad Tajuddin, 17, yang sibuk membantu ibu bapanya menjual roti canai sepanjang tempoh cuti persekolahan.

Apa yang menarik, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri (SMKTP) di Kuala Ketil ini, tidak kekok menebar roti canai di gerai Medan Selera Taman Desa Bidara di sini.

Kemahiran anak sulung daripada lima beradik menebar roti canai menjadi perhatian pengunjung. Mereka mengagumi kebolehan itu yang biasanya dikuasai golongan lelaki.

“Saya mula belajar menebar dan memasak roti canai ketika berusia 15 tahun. Ketika itu ibu dan ayah menyewa gerai di bangunan kedai niaga Taman Desa Bidara.

“Saya belajar menebar roti canai kerana ingin meringankan beban bapa yang bangun jam 5.30 pagi setiap hari.

“Walaupun masih muda namun sebagai anak sulung saya perlu bertanggungjawab membantu keluarga dan kebolehan membuat roti canai ini dimanfaatkan untuk membantu keluarga,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan kak long.

Bapanya Mohamad Tajuddin Ibrahim, 43, berkata, anak sulungnya sukarela membantu berniaga.

“Buat masa ini, saya berniaga di gerai medan selera setiap hari dari jam 6.30 pagi hingga jam 11.30 pagi dengan menu utama roti canai yang dijual 80 sen sekeping.

“Saya bersyukur Nurhusmina ringan tulang membantu saya dan isteri menyara keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 7:57 AM