Pasukan bomba mencari warga emas yang disyaki lemas dalam sebuah kolam ikan  terbiar di Kampung Olak Lempit semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Pasukan bomba mencari warga emas yang disyaki lemas dalam sebuah kolam ikan terbiar di Kampung Olak Lempit semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Samadi Ahmad


Banting: Seorang warga emas lelaki yang hilang sejak petang semalam, ditemukan lemas dalam kolam ikan terbiar di Jalan Gate, Kampung Olak Lempit, di sini, malam tadi.

Mayat mangsa ditemui dalam operasi mencari selepas dia dilaporkan keluar rumah pada 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, polis menerima laporan pada 4.20 petang semalam daripada anak saudara mangsa, Syamsul Fazli memaklumkan bapa saudaranya, Saban Radzwan, 69, dipercayai terjatuh ke dalam kolam berkenaan.

Beliau berkata, polis dan anggota bomba pergi ke tempat kejadian pada jam 8.15 malam untuk mencari mangsa.

"Pengadu membawa polis dan bomba ke lokasi kejadian sebelum menunjukkan sepasang selipar berwarna hijau milik mangsa berada di tepi kolam berkenaan.

"Pada 9.45 malam, pasukan bomba turun ke kolam itu menggunakan bot kecil milik penduduk kampung dan menjumpai mayat mangsa pada kedalaman 1.21 meter, tujuh meter dari tebing.

"Mangsa memakai baju berkolar kotak warna hitam putih dan berkain pelikat coklat dan mengalami gangguan emosi sejak berumur 20-an," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Banting untuk ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 1:26 PM