Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi tidak akan mengeluarkan lesen kepada mana-mana pengusaha ladang untuk memasarkan hasil pertanian yang diusahakan di atas tanah haram.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, KPPK amat tegas dalam perkara itu dan hanya mengeluarkan lesen menjual kepada pemilik tanah yang mempunyai geran secara sah dan tanah yang berdaftar sahaja.

"Perladangan haram ini bermula agak lama kerana mereka menanam secara diam-diam, mengambil tanah kerajaan seperti milik Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).

"Tiga empat bulan kemudian, apabila tiba masa untuk menuai hasil, mereka perlukan lesen untuk menjual hasil..itu akan timbul masalah kerana dari situ kita tahu (ladang diusahakan secara haram).

"Sebab kita tidak akan bagi lesen (menjual hasil) kepada pengusaha ladang yang tiada geran," katanya selepas melawat PPVIN Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Olak Lempit di sini, tadi.

MOHD Khairuddin pada sidang media selepas meninjau pekerja industri perkayuan dan perabot di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) menerima vaksin  di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit, Banting. FOTO Faiz Anuar
MOHD Khairuddin pada sidang media selepas meninjau pekerja industri perkayuan dan perabot di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit, Banting. FOTO Faiz Anuar

Beliau mengulas dakwaan terdapat penanaman kelapa sawit haram di Kuala Langat Selatan membabitkan Kawasan Hutan Simpan seluas 11 hektar.

Bagaimanapun Mohd Khairuddin berkata, pihaknya tiada kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pengusaha ladang terbabit.

"Kalau tanah itu milik kerajaan, kerajaan kena bertindak, kuasa KPPK pula hanya tidak beri lesen. Bererti kerugian berlaku di peringkat mereka (pengusaha ladang)

"(Pencerobohan tanah) itu urusan mereka dengan pemilik tanah. Jika tanah itu milik JPS, pihak JPS yang harus mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:57 PM