Mohd Bakar Haryanto (kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan  kepada Tusiman di pondoknya di Kampung Olak Lempit. FOTO SAMADI AHMAD
Mohd Bakar Haryanto (kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Tusiman di pondoknya di Kampung Olak Lempit. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


LELAKI warga emas terpaksa tinggal dalam pondok beratap dan berdindingkan zink berhampiran rumah pusaka yang terbakar di Kampung Olak Lempit, Sepang, sejak tahun lalu.

Pondok hasil sumbangan orang ramai itu dijadikan tempat tinggal Tusiman Amir, 65, memandangkan dia tiada sumber kewangan bagi membina semula rumah berkenaan selepas rumah pusaka didiami bersama arwah ibunya itu musnah dalam kebakaran.

Tusiman berkata, dia terpaksa berdikari dengan menghuni di pondok itu kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga lain berikutan mereka mempunyai tanggungjawab sendiri bersama keluarga masing-masing.

"Saya tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama ibu sehinggalah rumah pusaka itu musnah terbakar pada April 2019, ketika saya ke pekan membeli barang dapur dan hanya tinggal ibu sendirian di rumah.

"Ibu sempat diselamatkan ahli keluarga yang tinggal berhampiran, namun mengalami kesan panas di bahagian tubuh badan.

"Ibu yang ketika itu berusia 80 tahun dirawat di Hospital Banting, namun selepas beberapa hari itu arwah meninggal dunia akibat sakit tua dan bahang panas akibat kebakaran itu," katanya ketika menerima sumbangan Prihatin Ramadan daripada Persatuan Warga Prihatin, Kampung Olak Lempit, semalam.

Sumbangan barangan makanan itu disampaikan Pengerusi Persatuan Warga Prihatin Kampung Olak Lempit, Mohd Bakar Haryanto.

Tusiman berkata, berikutan zink digunakan sebagai bumbung dan dinding rumah itu, bahang panas amat dirasai pada siang dan malam.

Menurutnya, pondok itu dijadikan sebagai tempat tidur dan memasak selain tidak mempunyai bekalan elektrik, tiada bilik serta ciri keselamatan lain.

Katanya, tahun ini kali kedua dia menjalani puasa dan bakal menyambut Aidilfitri di pondok berkenaan yang serba kekurangan dan menyedihkan.

"Memang saya mengenangkan nasib tinggal bersendirian dan sebelum ini ketika ibu masih ada, dia boleh dijadikan tempat berkongsi masalah.

"Ketika ini, saya mendapat bekalan air melalui saluran paip lama dan menggunakan lilin pada waktu malam," katanya yang mengambil upah kerja di ladang kelapa sawit di kampung itu dengan pendapatan tidak tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 4:49 PM