GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Wanita warga emas ditahan bersama 807 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM64,320 di sebuah premis menjual makanan dan minuman di pekan Yong Peng dekat sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhamad Izzudin Runggai berkata, wanita berusia 71 itu ditahan sepasukan anggota Polis Marin Wilayah 2 dalam operasi khas pada jam 4.30 petang.

"Suspek yang ditahan adalah pemilik premis dan dipercayai dijadikan stor kecil untuk menyimpan bekalan rokok seludup.

"Dipercayai rokok seludup berkenaan adalah untuk bekalan kepada kedai-kedai runcit di sekitar Yong Peng", katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Izzudin, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 5:52 PM